KUCHING: Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) komited dalam memastikan aspek pertahanan dan keselamatan di negeri ini sentiasa terjamin.
Menterinya, Dato Sri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya telah merangka pelan pemerkasaan pertahanan untuk Sarawak bagi tempoh 2024 hingga 2030.
“Inisiatif ini merangkumi projek-projek pembangunan dan penaiktarafan aset ketenteraan dengan anggaran kos hampir RM500 juta merangkumi sektor tentera darat, udara dan laut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.
Kunjungan hormat tersebut antara lain untuk membincangkan projek berkenaan sekaligus mengukuhkan jalinan kerjasama di antara Kerajaan Sarawak dan MINDEF.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Premier Sarawak memberi sokongan penuh terhadap inisiatif yang diusulkan dan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan bersama bagi memastikan kelancaran projek akan datang.
Terdahulu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan persekutuan bakal memperuntukkan RM42 juta bagi penyelenggaraan rumah anggota tentera di Sarawak.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Dato Wira Hafizuddeain Jantan, Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Mohammad Ashraf Md Radzi serta delegasi kehormat lain. -EDISI UKAS