Kerajaan Sarawak Komited Perkasa Perkhidmatan Penghantaran Logistik

Disiarkan pada 08 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pengangkutan komited dalam memperkasakan industri pengangkutan khususnya dalam perkhidmatan penghantaran logistik.

 

Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin memberitahu, selaras dengan fokus kerajaan negeri terhadap tenaga digital dan hijau, kerjasama dengan syarikat inovatif adalah penting untuk mencapai matlamat dan visi ekonomi Sarawak.

 

“Dalam era digital hari ini, peranan penyelesaian digital dalam memodenkan perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran tidak boleh dipertikaikan.

 

“Penyepaduan teknologi termaju Lalamove dalam operasi mereka sejajar dengan agenda transformasi digital Kerajaan Sarawak,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Pusat Pemandu Lalamove Sarawak di Kuching pada Khamis.

 

Dalam pada itu, Dato Sri Lee juga berharap Lalamove akan dapat mengembangkan perkhidmatan ke kawasan lain di Sarawak.

 

“Sekiranya perkhidmatan itu dialu-alukan oleh sektor swasta dan juga sektor kerajaan, mungkin Lalamove boleh mempertimbangkan untuk melanjutkan perkhidmatan ke Miri, Sibu dan Bintulu.

 

“Saya melihat bahawa Lalamove telah mendapat sambutan yang baik di Sarawak dengan sebanyak 3,000 pendaftaran dalam dua bulan,” ujarnya.

 

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Lalamove Malaysia Jane Teh. -EDISI UKAS