KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Sarawak 2024 di Bangunan Baitul Makmur, di sini pada Rabu.
Tujuan lawatan itu adalah untuk mengambil maklum mengenai segala aspek persiapan teknikal yang sedang dilaksana oleh pihak sekretariat.
Mengiringi beliau ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA 2024, Datu Hii Chang Kee.
Menerusi lawatan berkenaan, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar diberikan taklimat ringkas berkaitan pengurusan, venue, kemudahan serta peralatan bagi melancarkan proses penganjuran temasya sukan dwi-tahunan berkenaan.
Turut dimaklumkan mengenai beberapa senarai tugas penting yang dipertanggungjawabkan kepada pihak sekretariat, antaranya dari segi teknologi, maklumat, laman sesawang rasmi, pendaftaran atau akreditasi tetamu kehormat (VIP), pegawai, atlet, Majlis Pelancaran SUKMA dan larian obor.
Selain itu, logo, lagu, maskot, cenderamata, jualan cenderahati, medal, roadshow, upacara penyampaian hadiah dan cenderamata termasuk penajaan dan pengurusan venue juga diuruskan oleh sekretariat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA 2024 Peter Chee Nyuk Min, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Setiausaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah@Colliner Gohe dan Ketua Sekretariat SUKMA 2024 Khairul Nizam Morshidi.
Sejurus selepas itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar meneruskan lawatannya ke Perkampungan Sukan Sarawak yang dibangunkan berdekatan dengan Stadium Negeri di Petra Jaya, meliputi bangunan asrama empat tingkat, dewan serba guna, pondok pengawal dan kantin.
Beliau bersama Datu Hii serta beberapa sekretariat SUKMA 2024 meninjau fasiliti sukan tersebut yang bakal menempatkan kira-kira 500 atlet.
Untuk rekod, kejohanan terbesar Sarawak yang akan diadakan di sembilan bahagian iaitu Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Betong, Sri Aman, Serian, Samarahan dan Kuching ini bakal menampilkan 37 jenis sukan dan 488 acara yang dipertandingkan.-Edisi UKAS