Jerayawara Tribunal Perumahan 2024 Pada 2-3 Ogos Ini Di Sibu

Posted on 01 Aug 2024
Source of News: UKAS



KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) akan menganjurkan Jerayawara Tribunal Perumahan selama dua hari bermula pada 2 hingga 3 Ogos ini di Wisma Sanyan, Sibu.

Jerayawara tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (Kesihatan Awam dan Perumahan), Datuk Michael Tiang Ming Tee pada Sabtu ini.

MPHLG dalam satu kenyataan media pada Rabu memberitahu, jerayawara tersebut memfokuskan kepada hak-hak sebagai pembeli rumah, kaedah dan prosedur bagi menfailkan kes ke Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak dan Tribunal Pengurusan Strata dan hal-hal berkaitan pembelian rumah.

Selain daripada itu, ceramah berkenaan penubuhan Joint Management Body (JMB) dan Management Committee (MC) serta pemilikan rumah mampu milik swasta dan awam juga akan disampaikan.

Sepanjang dua hari jerayawara berkenaan, mini 'booth' juga akan dibuka untuk memberi peluang kepada para pengunjung terutamanya kepada pembeli rumah di sekitar Kawasan Sibu dan berhampiran untuk bertanyakan soalan dan mendapatkan khidmat nasihat secara terus kepada kakitangan Kementerian dan agensi-agensi perumahan yang terlibat.

Antara agensi kerajaan yang turut mengambil bahagian dalam jerayawara ini adalah Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd.

Sehubungan itu, orang ramai adalah digalakkan hadir ke jerayawara ini untuk menambah pengetahuan dan meningkatkan kesedaran terhadap hak-hak sebagai pembeli rumah. -EDISI UKAS