SEOUL: Lotte Energy Materials merancang untuk memperluaskan pelaburan mereka di Sarawak yang dianggarkan bernilai RM1.2 bilion dengan potensi pelaburan tambahan sebanyak RM2.5 bilion.
Ini ditekankan semasa mesyuarat pada Selasa di Seoul, Korea Selatan di antara LOTTE Energy Materials dan delegasi dari Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Lotte Energy Materials adalah penyedia terkemuka bahan bateri canggih.
Syarikat ini telah menubuhkan kilang luar negara pertama mereka di Zon Perindustrian Bebas Samajay di sini untuk menghasilkan Elecfoil yang digunakan secara meluas dalam kenderaan elektrik dan sistem penyimpanan tenaga.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan LOTTE Energy Materials Park Ingoo berkata, syarikat mereka mempunyai rancangan untuk memperluaskan perniagaan mereka di Sarawak dan menjadikan Sarawak sebagai hab utama untuk menghasilkan bahan bateri canggih.
Pengembangan kemudahan ini dijangka menghasilkan lebih daripada 200 pekerjaan baharu yang akan memacu pertumbuhan industri dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.
Projek ini juga mencerminkan komitmen dan dedikasi mereka untuk menyokong pembangunan serantau dan mewujudkan peluang ekonomi baru.
Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais dan pegawai kanan kerajaan lain. -EDISI UKAS