SAIC Pacu Sarawak Sebagai Peneraju Teknologi AI

Disiarkan pada 30 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS



PUTRAJAYA: Penubuhan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) bakal menjadi langkah penting dalam usaha Sarawak memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kabinet Sarawak telah meluluskan penubuhan SAIC untuk memfokuskan kepada penyelidikan, pembangunan serta pengkomersialan AI.

Menurut beliau, sebagai sebahagian daripada Pelan Tindakan Ekonomi Digital 2030, Sarawak akan memanfaatkan pengunaan AI untuk merevolusikan penjagaan kesihatan dan pertanian serta mengoptimumkan hasil tanaman dan pengurusan sumber.

“SAIC akan meningkatkan bakat tempatan, menarik pakar global, dan meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam teknologi AI di Malaysia serta mempercepatkan penggunaan AI dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Generatif AI khususnya akan memacu aplikasi baharu dan inovatif merentasi pelbagai sektor sekali gus meningkatkan keupayaan teknologi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Kepimpinan Teknologi anjuran Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di sini pada Selasa.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, menyedari peranan penting pusat data dalam agenda Ekonomi Digital, Sarawak sedang bekerjasama dengan sektor swasta untuk menubuhkan Pusat Data Hijau.

“Kami sedang membangunkan Taman Pusat Data Hijau 200 Megawatt sekali gus menyediakan platform untuk infrastruktur digital mampan yang lengkap dengan infrastruktur digital teknologi cekap tenaga yang termaju,” ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut, Premier Sarawak telah dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Teknologi 2024 di mana beliau menyifatkan anugerah tersebut sebagai kejayaan bersama rakyat Sarawak.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains Teknologi dan inovasi, Datuk Ts. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ts. Dr Nagulendran Kangayatkarasu, Presiden MBOT, Professor Datuk Ts. Insinuer Dr. Siti Hamisah Tapsir dan tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS