Pendidikan Percuma Untuk Anak-Anak Sarawak Menjelang 2026

Disiarkan pada 28 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Pihak kerajaan akan memastikan anak Sarawak melanjutkan pelajaran di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) yang ada di Sarawak tanpa perlu risau masalah kewangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, dengan penubuhan beberapa IPT di Sarawak, kerajaan negeri akan memperkenalkan pendidikan percuma untuk anak-anak Sarawak menjelang tahun 2026.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) memberitahu, Yayasan Sarawak mampu membiayai kos pengajian melalui skim-skim penajaan yang disediakan.

"Saya ingin menyeru anak-anak sekalian agar terus menanam semangat tinggi untuk menimba ilmu sebab di Sarawak kita sudah mempunyai institusi pengajian tinggi yang bertaraf dunia.

“Saya berharap agar semua anak-anak Sarawak mengambil peluang ini kerana kita memerlukan generasi muda yang selari dengan kehendak masa depan.

"Sekiranya tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Sarawak turut menyediakan institusi lain seperti Swinburne, Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Sarawak dan Project of Dream Realized Roadshow (PRO-DR) Edisi Ke-9 Bahagian Mukah di Kingwood Resort pada Sabtu.

Menyentuh mengenai Ekspo Pendidikan, Abdul Yakub yakin ia adalah antara usaha untuk meningkatkan kesedaran bagi anak-anak di kawasan luar bandar mengenai peluang pendidikan khususnya di bawah Yayasan Sarawak.

Tambahnya, penganjuran seperti ini menyediakan ruang untuk pihak kerajaan menyebarkan maklumat supaya anak-anak Sarawak merebut peluang yang ada.

Dalam pada itu, turut disampaikan sijil kepada 39 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajar Malaysia (SPM) 2023 terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, SMK Mukah, SMK ST Patrick dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah.

Hadir sama ADUN Tellian Royston Valentine dan wakil Pengarah Yayasan Sarawak Alina Vincent. - EDISI UKAS