SRI AMAN: Jabatan Bantuan Guaman (JBG) komited menyediakan perkhidmatan bantuan guaman kepada penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, program ini memberi manfaat kepada rakyat yang tinggal jauh di pedalaman dalam mendapatkan perkhidmatan bantuan guaman yang diberikan oleh JBG.
Menurutnya, program ‘Justice On Wheels’ (JoW) ini bertujuan untuk memberi khidmat nasihat secara 'mobile' kepada orang ramai di lokasi terpilih.
“Semasa program dilaksanakan, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat dari pegawai-pegawai JBG yang bertugas.
“Proses mendapatkan khidmat nasihat semasa program JoW adalah sama seperti di klinik guaman di reruai atau dewan awam yang telah diadakan sebelum ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Klinik Guaman Bergerak JoW Daerah Sri Aman di sini pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berkata, program JoW Sarawak bermula pada Jun di Simunjan dan akan diteruskan ke Sri Aman, Lingga, Mukah dan Lundu, berakhir pada Oktober 2024.
Tambahnya, kadar purata masa satu khidmat nasihat berserta penelitian dokumen yang dibawa oleh orang awam adalah 30 minit.
“Semasa khidmat nasihat, penelitian ujian kelayakan dan ujian merit juga akan dijalankan bagi mereka yang berhasrat memohon untuk bantuan guaman,” ujarnya.
Turut hadir ialah Pengarah JBG Sarawak Hafizah Ali, wakil Residen Bahagian Sri Aman Mohamad Hafiz Kipli, wakil Pegawai Daerah Sri Aman Mohamad Hamizan Yahya dan Walikota Sri Aman Anthony Abel. -EDISI UKAS