Sarawak Terus Diiktiraf Negeri Berpendapatan Tinggi
Disiarkan pada 23 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS
BINTULU: Sarawak terus mendapat pengiktirafan sebagai negeri berpendapatan tinggi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Bank Dunia telah mengesahkan bahawa Sarawak masih mengekalkan statusnya sebagai negeri berpendapatan tinggi pada tahun 2023.
"Saya sebagai Premier amat bersyukur bahawa Sarawak terus diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai kawasan berpendapatan tinggi pada tahun 2023.
"Bank Dunia telah mengesahkan bahawa Sarawak masih mengekalkan status sebagai kawasan berpendapatan tinggi dengan tahap Pendapatan Negara Kasar (GNI) pada USD17,000 berbanding USD15,000 pada tahun sebelumnya," katanya semasa Perhimpunan Hari Sarawak 2024 di Lapangan Terbang Lama di Bintulu pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, dengan pendekatan yang bukan-konvensional, Sarawak boleh menentukan hala tuju ekonominya sendiri yang berkisar pada inisiatif-inisiatif ke arah ekonomi yang berkait rapat dengan usaha sejagat menangani perubahan iklim.
"Ini terbukti apabila Sarawak menjadi kawasan pertama di negara ini yang telah mengorak langkah untuk menggerakkan ekonominya ke arah ekonomi hijau dan transisi kepada tenaga yang bersih daripada karbon di samping memberi nilai tambah kepada sumber asli negeri ini.
"Dasar ekonomi hijau ini telah mengetengahkan banyak peluang untuk mentransformasikan ekonomi negeri ini dari segi mempertingkatkan pelaburan asing dan tempatan seperti yang sedang dan akan berlaku di Bintulu ini," jelasnya.
Beliau dalam pada itu yakin, ekonomi Sarawak akan terus berkembang dalam tempoh sehingga 2030 dan sehingga 2050, seterusnya memperkukuhkan status Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi. -EDISI UKAS