KUCHING: Jambatan Sungai Bintangor yang telah dikategorikan sebagai salah satu projek sakit tahap kritikal dijangka siap menjelang April 2025.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir Aidel Lariwoo memberitahu, masalah utama kelewatan projek ini adalah penempatan semula aset utiliti yang kini sudah memakan masa lima tahun sejak projek berkenaan dimulakan pada 2019.
Jelas beliau, pelbagai masalah itu bagaimanapun telah diselesaikan dan pihak kontraktor akan diberi tempoh lanjutan sebanyak 819 hari iaitu bersamaan dengan dua tahun lebih untuk menyiapkannya.
“Kita difahamkan, sudah diselesaikan masalah yang paling besar iaitu (pemindahan aset) utiliti dan saya berharap selepas ini kontraktor dapat menyambung kerja dengan lebih lancar lagi kerana projek ini sudah bermula pada tahun 2019 sebelum Covid-19 melanda, tetapi sekarang sudah tahun 2024 dan ia sepatutnya siap pada bulan April tahun depan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Projek Bahagian Kuching di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di sini pada Khamis.
Untuk rekod, projek yang menelan perbelanjaan lebih RM50 juta pada awalnya menurun kepada RM47.7 juta ekoran anggaran pembelian cerucuk kurang dari anggaran asal.
Setakat 25 Jun 2024, kemajuan projek tersebut telah mencapai 63.04 peratus berbanding jadual 69.86 peratus.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan beberapa lagi projek yang berdepan kelewatan kritikal daripada jadual dan dalam proses menamat dan melantik semula kontraktor terlibat selain perubahan tambahan.
Projek yang dimaksudkan termasuk pembinaan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Industri Lada Negara di Semenggoh, bina baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Agama di Jalan Sultan Tengah, Jambatan Sejingkat dan Jambatan Rambungan.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman. -EDISI UKAS