SIBU : Jawatankuasa Kelengkapan Bahagian Sibu, Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang diketuai oleh Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu Khairul Akmal telah melakukan tinjauan ke beberapa venue pertandingan SUKMA XXI di Bahagian Sibu baru-baru ini.
Tinjauan Jawatankuasa Kelengkapan ini adalah bagi memantau persiapan terkini di semua venue pertandingan SUKMA XXI Sarawak 2024 di Bahagian Sibu.
Ia juga bagi memantau dan melihat keperluan kelengkapan di venue pertandingan tersebut.
SUKMA XXI Sarawak akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos 2024 di sembilan bahagian negeri.
Untuk bahagian Sibu, terdapat tiga acara yang akan dipertandingkan iaitu bola sepak, badminton dan bola tampar dewan.
Tiga acara tersebut akan diadakan di empat venue iaitu bola sepak di Stadium Azman Hashim dan Stadium Tun Zaidi, badminton di Stadium Tertutup Sibu dan acara bola tampar diadakan di Dewan Bola Tampar, Rejang Park.
Selain itu, Jawatankuasa Kelengkapan turut melakukan tinjauan ke Pusat Media Bahagian Sibu, SUKMA XXI Sarawak.
Pusat Media ini akan diselaraskan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sibu bersama dengan rakan strategik seperti Jabatan Penerangan, RTM, TVS, BERNAMA dan FINAS yang akan dibuka di Tingkat 1, Stadium Tertutup Sibu dan dijangka beroperasi bermula 11 hingga 24 Ogos 2024.
Turut hadir semasa sesi tinjauan Jawatankuasa Kelengkapan tersebut ialah Pegawai Wilayah Tengah Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Mikar Changgan, UKAS Bahagian Sibu, Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu dan Jabatan Penerangan Daerah Sibu. – EDISI UKAS