Dewan Kampung Insan Jaya Siap Sepenuhnya

Posted on 11 Jul 2024
Source of News: UKAS



TEBEDU: Penduduk Kampung Insan Jaya kini dapat menikmati kemudahan dewan serbaguna yang baharu.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, kos pembinaan dewan tersebut adalah sebanyak RM150,000 di bawah peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2023.

 

“Dengan siapnya projek dewan itu sudah pasti ia akan memberi kemudahan kepada penduduk Kampung Insan Jaya untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan program sepanjang tahun,” ujarnya selepas menyaksikan penyerahan simbolik projek siap di sini pada Rabu.

 

Selepas itu, Dr Simon telah melakukan lawatan ke tapak cadangan pembesaran tanah perkuburan di Kampung Darul Iman di sini.

 

Terdahulu, beliau telah mempengerusikan taklimat di Pejabat Daerah Tebedu mengenai cadangan membina baharu Jalan Temong/Tepoi Fasa 2.

 

Menurutnya, sebut harga cadangan projek sepanjang 17.3 kilometer itu akan dikeluarkan selewatnya pada suku ketiga tahun ini.

 

“Dengan siapnya jalan ini nanti sudah pasti akan memberi manfaat kepada enam kampung iaitu Kampung Temong Putah, Temong Mura, Temong Mawang, Kampung Darul Falah /Huda dan Kampung Tepoi.

 

“Saya juga berharap pembinaan jalan ini tidak mendapat bantahan daripada penduduk kerana yang pasti ianya akan menyelesaikan segala masalah yang telah ditempuh oleh enam buah kampung di sepanjang jalan ini sebelum ini,” jelasnya.

 

Difahamkan, agensi pelaksana projek tersebut adalah pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian.

 

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar, wakil Residen Bahagian Serian John Boy Riyah, Jurutera Awam JKR Bahagian Serian Adeline Nyaon dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sekitar. -EDISI UKAS