Premier Sarawak Berpuas Hati Dengan Persiapan Sambutan Hari Sarawak 2024

Posted on 10 Jul 2024
Source of News: UKAS











KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berpuas hati dengan pelbagai persiapan yang giat dilakukan bagi sambutan Hari Sarawak 2024 pada 22 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sarawak 2024 yang juga Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, persiapan rapi perlu dilakukan bagi memastikan sambutan Hari Sarawak tahun ini berlangsung dengan penuh gilang gemilang.

Menurutnya, Datuk Patinggi Abang Zohari juga dijadualkan merasmikan Petchem Methanol di Tanjung Kidurong pada hari sama.

"Premier Sarawak berpuas hati dengan segala persiapan yang telah kita lakukan. Namun, ada beberapa perubahan perlu dibuat dari segi sentimen.

"Kita mahu meletakkan Sarawak di hadapan secepat yang mungkin, tetapi perlu diingatkan Sarawak kekal dalam Malaysia. Sarawak Maju, Sarawak Makmur, Malaysia maju, Malaysia juga makmur," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi bersama Ahli Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sarawak Tahun 2024 akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak pada Rabu.

Sementara itu, beliau menjelaskan, Bintulu dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Sarawak 2024 adalah didorong oleh pelbagai pembangunan pesat yang berlaku di bahagian berkenaan.

Untuk rekod, antara pengisian program sambutan melibatkan Majlis Kesyukuran bagi agama-agama lain pada 20 Julai depan dan Majlis Kesyukuran di Masjid Assyakirin Bintulu pada 21 Julai ini.

Ini diiikuti 'Fun Ride' di Dewan Suarah Bintulu sejauh 15 kilometer, sesi townhall di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu pada 22 Julai depan.

Acara kemuncak pula ialah Perhimpunan Hari Sarawak 2024 di Tapak Lapangan Terbang Lama pada jam 8 malam, 22 Julai

Pada malam sama, ramai artis tempatan antaranya Bob Yusuf, Melissa Francis, Dayang Nurfaizah akan membuat persembahan selain persembahan pentomin. -EDISI UKAS