SUKMA XXI: Atlet Sarawak Perlu Terap Mentaliti Juara

Posted on 10 Jul 2024
Source of News: UKAS








KUCHING: Atlet Sarawak yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 Ogos nanti perlu menerap mentaliti sang juara apabila turun menentang atlet dari negeri lain.

Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, SUKMA ibarat ‘medan perang’ yang menuntut strategi yang betul dan minda yang cekal dari para atlet untuk beroleh kemenangan.

Katanya, untuk menang kontinjen Sarawak tidak mempunyai pilihan lain kecuali perlu memenangi sebanyak mungkin pingat emas yang dipertandingkan.

"Bertanding dalam SUKMA adalah seperti pergi berperang. Kalau hendak berperang kita memasang strategi dengan rapi.

"Anda mesti mempunyai mentaliti yang betul, pandangan yang betul dan motivasi yang tepat khususnya atlet muda kita."

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada sesi taklimat bersama Chef de Mission (CDM) dan Assistant Chef de Mission (ACDM) kontinjen Sarawak yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.

Menurutnya, kelebihan beraksi di tempat sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para atlet negeri untuk memastikan gelaran juara kembali dikalungkan kepada Sarawak selepas kali terakhir melakarnya 30 tahun lepas iaitu pada tahun 1994.

Tegasnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga akan memantau rapat perkembangan semasa atlet sepanjang SUKMA setiap hari kerana juga pastinya mahu melihat Sarawak muncul johan kali ini.

"Sudah tentu, ada di antara atlet kita yang melihat atlet dari negeri lain lebih hebat berbanding mereka.

"Inilah peranan ACDM, pengurus pasukan dan jurulatih untuk membantu menaikkan semangat atlet agar mereka tidak merasa rendah diri terhadap atlet dari negeri lain yang mereka lawan.

"Atlet (Sarawak) harus memastikan semasa pertandingan, samada di padang atau kolam, mereka melihat lawan mereka 'kecil'," katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ketua Kontinjen Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA XXI Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Morshidi Fredrick, CEO Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta para ACDM, pengurus pasukandan jurulatih 37 sukan yang dipertandingkan.

Pada sesi taklimat berkenaan, setiap persatuan sukan membentangkan jumlah sasaran pingat mereka pada SUKMA kali ini.

Untuk rekod, Sarawak akan membariskan seramai 802 atlet terdiri daripada 427 atlet lelaki dan 375 atlet wanita pada temasya SUKMA kali. – EDISI UKAS