Jumlah Kadar Kemiskinan Sarawak Diyakini Menurun

Disiarkan pada 06 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Kerajaan Sarawak meletakkan keyakinan bahawa jumlah kadar kemiskinan di negeri ini sudah menurun memandangkan kedudukannya sebagai wilayah berpendapatan tinggi masih kukuh dalam senarai Bank Dunia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, tanda-tanda kemiskinan dilihat berkurangan dengan ketara sejak dua tahun yang lepas disebabkan keadaan hidup masyarakat di luar bandar sudah berubah.

"Pertama, rumah panjang dan kampung-kampung kebanyakkannya semakin berubah dan ramai dalam kalangan penduduk luar bandar sudah memiliki pengangkutan masing-masing.

"Kedua, ada juga yang masih tersenarai dalam Sistem eKasih walaupun mereka sudah memiliki kereta dan rumah pula dilengkapi penghawa dingin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Yang Dipertua Parti PBB itu memberitahu, kajian teliti mengenai statistik kemiskinan di luar bandar sedang giat dijalankan melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Sehubungan itu katanya, jumlah sebenar penduduk yang masih berada dalam kategori miskin tegar akan diumumkan pada pembentangan Bajet Sarawak 2025 pada November depan.

"Apa yang berlaku ialah kita ada data yang disimpan di EPU.
Kalau diikutkan, eKasih ini adalah mereka di bawah kategori kemiskinan yang harus diberi bantuan sahaja.

"Selama bertahun-tahun, mereka sebenarnya sudah bertambah baik dan tiada lagi di bawah kategori kemiskinan kerana aset bertambah, pendapatan pun sudah bertambah.
Tetapi ada individu yang tidak mahu keluar dari senarai itu kerana masih mahu menerima bantuan,"jelasnya.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato' Sri Julaihi Narawi dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Turut serta ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato' Sri Nancy Syukri serta ahli-ahli parti PBB yang lain.-Edisi UKAS