MySRBN Galakkan Pengguna Muat Turun Aplikasi MySDEC Sebelum 7 Julai

Disiarkan pada 06 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Bagi meningkatkan sambungan di kawasan luar bandar, pengguna Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) digalakkan untuk memuat turun aplikasi MySDEC sebelum 7 Julai ini.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) untuk memperkukuhkan perkhidmatan internet di seluruh wilayah.

Semasa tempoh percubaan, pengguna yang telah mendaftar dengan MySRBN digesa untuk bertindak dengan segera bagi memastikan akses tidak terganggu kepada perkhidmatan internet yang baru diperbaiki.

Ia bertujuan meluaskan liputan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, termasuk pakej pra-bayar dengan 300MB data percuma setiap bulan, yang direka khas untuk manfaat komuniti luar bandar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Ir. Ts. Sudarnoto Osman, dalam suatu kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu, memuat turun aplikasi MySDEC sebelum tarikh akhir adalah penting bagi pengguna untuk menikmati peruntukan awal 300MB data percuma.

Bagi memudahkan proses tersebut, pengguna perlu mengemaskini maklumat peribadi melalui aplikasi MySDEC, yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store, atau Huawei AppGallery.

Beliau turut menekankan bahawa pengguna sedia ada akan menghadapi laman muka wajib yang mengarahkan mereka untuk mengisi butiran penting sebelum mendapat akses internet.

Selain mengurus langganan dan pembayaran, aplikasi MySDEC berfungsi sebagai pusat untuk mendapatkan kemas kini terkini mengenai perkhidmatan MySRBN dan inisiatif SDEC, serta memberikan akses terus ke portal kerajaan dalam talian. –EDISI UKAS