Catatan Salasilah Keturunan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Berusia Lebih 200 Tahun Diserahkan Kepada Pusat Sejarah Brunei Sebagai Rujukan & Kajian

Disiarkan pada 25 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




BANDAR SERI BEGAWAN: Catatan salasilah keturunan asal Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berusia lebih 200 tahun telah diserahkan Kepada Pusat Sejarah Brunei untuk rujukan dan kajian lanjut, pada Selasa.

Penyerahan salinan salasilah itu telah disempurnakan oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei, Pengiran Mohd Hasnan Pengiran Ali Hassan semasa kunjungan beliau ke pusat berkenaan.

Mengikut jalur salasilah asal yang berusia 200 tahun  itu juga mengesahkan bahawa Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi adalah keturunan generasi yang ke-38 dari zuriat Nabi Muhammad.

Sebelum itu, sebaik tiba bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Pusat Sejarah Brunei pada jam 10 pagi, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama rombongan terus bergerak ke Dewan Pameran Salasilah yang turut memaparkan salasilah-salasiah yang berkaitan dengan sejarah Brunei Darussalam.

Pegawai Pusat Sejarah Brunei telah menerangkan mengenai kajian dan susunan susur-galur keluarga dan sejarah keturunan Bonda kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak iaitu Sharifah Hanifah yang dikatakan berasal daripada keluarga Al Aiydrus daripada jalur Faqih Muqqaddam seperti catatan-catatan asal tulisan tangan oleh pengkaji Pusat Sejarah Brunei, Jamil Al-Sufri.

Menerusi catatannya ada menyebut tentang keluarga Hussein Bin Abdul Kadir yang bersambung kepada Al Aiydrus itu yang mana Hussein ini merupakan moyang kepada sebelah bondanya.

Menarik perhatian, buat masa ini sususan salasilah keturunan Bonda Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi belum lengkap lagi dan kajian lanjut akan dijalankan bagi mengusahakan penemuan semula bagi mengetahui kandungan untuk dijadikan sumber pengkajian.

Bagaimanapun, catatan salasilah keturunan Tuanku Jaafar Ayahanda kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak sudah lengkap disusun oleh Unit Salasiah, Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi Pusat Sejarah Brunei.

Hasil kajian yang dijalankan mendapati susunan susur-galur keluarga Ayahanda kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berasal dari keluarga Sayid Yassin Al-Yahya berasal dari Terengganu, Sayyid Agil dari Banting, Sarawak, Sayyid Muhammad, Sayyid Hamid, Sayyid Zainal Abidin dan Tuanku Hassan.

Usai melawat Pusat Sejarah Brunei, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri berangkat menelusuri keindahan sejarah perairan Sungai Brunei.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan isteri dijadualkan berlepas pulang ke Kuching pada jam 3 petang ini.-EDISI UKAS