Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Negeri Dirancang

Disiarkan pada 20 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Negeri (IPTN) sedang dirancangkan bagi memanfaatkan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee memberitahu, penubuhan IPTN masih di peringkat perbincangan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Beberapa negeri mempunyai institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri seperti Melaka, Selangor dan di Sarawak, kita mempunyai lima.

“Antara faedah daripada menubuhkan IPTN adalah Kerajaan Persekutuan mungkin boleh menyalurkan dana kepada institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Mengenai Kokurikulum dan Pengalaman Pembelajaran (ICCLE) 2024 Pertama di sini pada Khamis. 

Datuk Dr Annuar menambah, lima institusi tinggi milik kerajaan negeri adalah Universiti Curtin, Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS). 

“Walaupun universiti-universiti tersebut dimiliki oleh Kerajaan Sarawak, namun ia masih diklasifikasikan sebagai universiti swasta dan tidak menerima geran atau peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS Profesor Ir Ts Dr Al-Khalid Othman. -EDISI UKAS