SPRM Komited Sokong Aspirasi Kerajaan Sarawak Perangi Rasuah

Disiarkan pada 19 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak tetap komited menyokong sepenuhnya aspirasi kerajaan Sarawak dalam memastikan negeri ini bebas daripada isu-isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Mohd Zaki Hassan berkata, selain daripada tugasan operasi, pihaknya telah meningkatkan fokus dalam menjalankan pelbagai program pencegahan untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya rasuah, di samping meningkatkan fokus kepada tatakelola di peringkat jabatan-jabatan di Sarawak.

"Kita juga membantu membaiki prosedur atau bertindak sebagai penasihat kepada jabatan-jabatan yang dilihat boleh membuatkan kebocoran kepada dana-dana yang ada di Sarawak ini,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wima Bapa Malaysia di sini pada Rabu.

Datuk Mohd Zaki menambah, kunjungan hormat itu bertujuan untuk memaklumkan kepada Datuk Patinggi Abang Zohari bahawa beliau akan memulakan tugas baharu sebagai Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dalam masa terdekat setelah lebih enam tahun berkhidmat di negeri ini sebagai Pengarah SPRM Sarawak.

Ke arah itu, beliau yakin dengan sokongan padu daripada Datuk Patinggi Abang Zohari, SPRM Sarawak akan terus mengekalkan prestasi yang cemerlang dalam menyumbang kepada usaha membanteras rasuah di rantau ini.

Mengulas lanjut, Datuk Mohd Zaki turut menyatakan kebanggaannya terhadap pencapaian SPRM Sarawak yang sehingga kini berperanan aktif memperkukuhkan sistem pencegahan rasuah di bawah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS).

"Kita merupakan satu jawatankuasa yang memberi pandangan dari aspek penguatkuasaan.

"Jadi saya sangat berbangga kerana usaha ini juga termasuk dalam salah satu sejarah yang membuktikan SPRM Sarawak juga memainkan peranan dalam usaha kerajaan Sarawak memerangi rasuah,"tambahnya.-Edisi UKAS