JURUAUDIT SCORECARD SARAWAK DIPERKASA DENGAN STANDARD KPI BERTARAF DUNIA

Disiarkan pada 13 Feb 2026
Sumber Berita: Edisi UKAS
KUCHING: Seramai 20 Juruaudit Scorecard Sarawak telah mengikuti kursus pengurusan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bertaraf antarabangsa sebagai langkah progresif Kerajaan Sarawak dalam mengangkat kualiti pengauditan prestasi ke tahap global, sekali gus memastikan setiap perumusan KPI strategik berteraskan outcome, data sahih dan akauntabiliti tinggi.

Kursus yang berlangsung dari 10 hingga 12 Februari 2026 itu dianjurkan oleh Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik memperkukuh kompetensi juruaudit dalam melaksanakan audit KPI secara lebih sistematik, komprehensif dan berasaskan metodologi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Program berkenaan dikendalikan oleh The KPI Institute, sebuah badan persijilan dan pusat penyelidikan antarabangsa berpangkalan di Eropah yang diiktiraf sebagai antara peneraju global dalam bidang pengurusan prestasi, KPI dan Balanced Scorecard.

Institusi tersebut terkenal dengan pensijilan profesional bertaraf antarabangsa seperti Profesional dan Pengamal KPI Bertauliah (C-KPI), yang diguna pakai secara meluas oleh organisasi awam dan swasta di lebih 60 negara.

Pendekatan berasaskan penyelidikan, pangkalan data KPI global yang komprehensif serta standard latihan bertaraf dunia yang diketengahkan menerusi kursus ini memberi nilai tambah signifikan terhadap pembangunan profesional Juruaudit Scorecard Sarawak.

Penganjuran ini merupakan pelaksanaan pertama kerjasama bersama The KPI Institute di bawah inisiatif pembangunan Juruaudit Scorecard Sarawak, sekali gus menandakan komitmen jelas Kerajaan Sarawak dalam menyelaras amalan pengauditan prestasi negeri dengan penanda aras global.

Melalui kursus tersebut, para peserta diperkasa untuk menilai tahap pematuhan KPI terhadap metodologi Balanced Scorecard atau scorecard organisasi, termasuk aspek kejelasan definisi, formula pengiraan, penetapan sasaran serta penjajaran inisiatif strategik.

Selain itu, mereka turut meningkatkan keupayaan dalam menilai keselarasan KPI dengan hala tuju strategik organisasi, pelan pembangunan kerajaan serta objektif strategik yang telah ditetapkan.

Kursus ini turut memberi penekanan kepada aspek integriti, ketelusan dan kebolehpercayaan data prestasi, meliputi sumber data, kaedah pengiraan serta kawalan kualiti data bagi memastikan dapatan audit yang dihasilkan adalah objektif dan berasaskan bukti.

Usaha ini selaras aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membudayakan pengurusan berasaskan prestasi yang berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh akauntabiliti organisasi serta menyokong penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan awam negeri.