Hari Pertama Regatta Sarawak 2025 Hangatkan Tebingan Sungai Kuching

Disiarkan pada 31 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sorakan ribuan penonton menghangatkan hari pertama Regatta Sarawak 2025 yang membuka tirai di Tebingan Sungai Kuching hari ini.

Bermula seawal jam 2.30 petang, pelbagai acara perlumbaan perahu bidar berlangsung dengan penuh semangat dan persaingan sengit antara pasukan peserta dari dalam dan luar negeri.

Antara kategori yang mencuri tumpuan termasuk Perahu Bidar 20 Pekayuh Lelaki (Terbuka), Perahu Bidar 25 Pekayuh Lelaki (Terbuka) serta Perahu Bidar 20 Pekayuh Lelaki (Tempatan) – Piala Petronas.

Tumpuan turut diberikan kepada perlumbaan Piala Antarabangsa Borneo – Piala MTCP, anjuran Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang memperlihatkan penyertaan pasukan tempatan dan antarabangsa dalam Saringan B pada jam 3.15 petang.

Kemuncak acara petang ini dijangka berlangsung pada jam 4.15 petang menerusi perlumbaan berprestij ‘Raja Sungai’ – Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak (TYT).

Acara ini saban tahun menjadi simbol kehebatan, semangat juang serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini melalui sukan tradisi yang penuh warisan tersebut.

Kemeriahan festival turut diserikan dengan kehadiran pengunjung yang memenuhi sepanjang Kuching Waterfront, menikmati pelbagai aktiviti sampingan seperti gerai jualan, pameran kraftangan dan juadah tempatan. -EDISI UKAS