SIBU: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan penularan foto di media sosial yang kononnya menunjukkan keadaan Jalan Ling Kai Cheng dalam keadaan teruk dan berlumpur.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang menjelaskan bahawa foto berkenaan bukan dari lokasi sebenar Jalan Ling Kai Cheng, sebaliknya dipercayai telah disunting secara digital atau dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf jalan tersebut sedang dijalankan secara berperingkat dengan kawalan rapi oleh pihak berkuasa tempatan dan laluan masih boleh digunakan seperti biasa dengan hanya penutupan separa pada waktu malam.
“Saya berharap orang ramai kekal rasional dan bijak menilai maklumat dalam era digital ini. Jangan mudah mempercayai atau menyebarkan kandungan yang belum disahkan kesahihannya,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna media sosial agar menggunakan teknologi dengan penuh tanggungjawab dan mengelakkan penyebaran kandungan palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan ketenteraman awam.
“Teknologi AI membawa banyak manfaat kepada kehidupan seharian, namun jika disalah guna, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan persepsi tidak tepat. Gunakan kemajuan ini untuk tujuan membina, bukan sebaliknya,” tambahnya.
Datuk Michael Tiang turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat atas kesabaran dan kerjasama mereka sepanjang tempoh kerja-kerja naik taraf yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2026.
“Kami faham sedikit kesulitan tidak dapat dielakkan sepanjang tempoh pembinaan, namun yakinlah semua usaha ini adalah untuk mewujudkan jalan yang lebih selamat dan selesa untuk penduduk Sibu," katanya.-EDISI UKAS