Taman Rimba Sebangkoi Bakal Dibangunkan Sebagai Destinasi Pelancongan Baharu

Disiarkan pada 31 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Taman Rimba Sebangkoi berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan baharu di bawah jajaran Lebuhraya Pan Borneo susulan penemuan pelbagai spesies flora dan fauna unik menerusi ekspedisi yang dijalankan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) baru-baru ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, hasil ekspedisi tersebut membuktikan bahawa kawasan Taman Rimba Sebangkoi memiliki kekayaan biodiversiti yang tinggi serta nilai ekologi yang signifikan bagi pembangunan mampan negeri.

“Jabatan Hutan telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan ekspedisi di Sebangkoi dan hasilnya, banyak penemuan spesies hidupan liar, flora dan fauna direkodkan.

“Ini menunjukkan kawasan ini sangat kaya dengan khazanah alam semula jadi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Ekspedisi Sebangkoi 2025 yang diadakan di RH Hotel, Sibu, pada Jumaat.

Menurut beliau, sebelum ini Taman Rimba Sebangkoi berada di bawah pengurusan Majlis Daerah Sarikei dan pernah dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dengan kemudahan tertentu, namun sambutan daripada orang ramai kurang memberangsangkan.

Datuk Len Talif menambah, JHS kini telah mengemukakan kertas cadangan kepada kementerian bagi mewartakan kawasan tersebut sebagai Hutan Rekreasi (Amenity Forest) atau Hutan Simpan Semula Jadi (Natural Reserve).

“Langkah ini akan membolehkan satu agensi ditugaskan sepenuhnya untuk membangunkan kawasan tersebut secara menyeluruh dari segi prasarana, kemudahan, pengurusan dan interpretasi sumber hutan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, pembangunan Taman Rimba Sebangkoi secara bersepadu akan memberi manfaat besar bukan sahaja kepada penduduk Sarikei tetapi juga kepada seluruh rakyat Sarawak.

Datuk Len Talif optimis bahawa dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, Hutan Rimba Sebangkoi akan muncul sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan yang membanggakan rakyat Sarikei serta menjadi aset penting kepada negeri Sarawak secara keseluruhan.

Turut hadir, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Badjuri Bidin, Timbalan Pengarah Hutan (Konservasi Hutan dan Pembangunan) Happysupina Sait serta Ketua Polis Daerah Sarikei Aswandy Anis.-EDISI UKAS