KABONG: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Junid Gerigat menerima sumbangan berjumlah RM7,000 bagi membiayai pelbagai aktiviti tahunan sekolah termasuk program kokurikulum dan pembangunan pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, sumbangan tersebut diharap dapat memperkasa pelaksanaan program sekolah sekali gus meningkatkan penyertaan ibu bapa dan masyarakat dalam usaha memperkukuh pendidikan di kawasan berkenaan.
“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa komited memastikan sekolah dan pelajar mendapat sokongan sewajarnya.
"Aktiviti tahunan sekolah bukan sahaja memperkukuh kemahiran pelajar, malah merapatkan hubungan antara guru, ibu bapa dan komuniti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat sempena pembukaan bangunan baharu SK Haji Junid Gerigat di sini pada Jumaat.
Majlis tersebut turut menzahirkan rasa syukur atas siapnya bangunan baharu sekolah yang kini menyediakan persekitaran lebih selesa dan kondusif untuk guru serta murid.-EDISI UKAS