Sarawak Tampilkan Strategi Penerbangan Pintar di Forum Antarabangsa 2025

Disiarkan pada 31 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SHANGHAI: Sarawak menampilkan strategi penerbangan pintar sempena Forum Penerbangan Awam Antarabangsa 2025 yang bertemakan Memperkukuh Keterhubungan Global dan Mengadaptasi Inovasi dalam Penerbangan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, menegaskan bahawa Sarawak kini berada pada tahap penting dalam mentransformasi sektor penerbangannya daripada keterhubungan serantau ke rangka kerja antarabangsa.

“Melalui inovasi dan kerjasama, kami berhasrat menghubungkan Sarawak dengan rangkaian penerbangan global serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat kami,” ujar beliau.

Difahamkan, forum yang diadakan di Universiti Shanghai Jiao Tong itu menghimpunkan lebih 300 delegasi daripada pelbagai negara dan wilayah. Antara penceramah utama lain ialah wakil ICAO, IATA, universiti terkemuka, dan pemimpin industri penerbangan antarabangsa.

Acara ini memberi tumpuan kepada pembangunan masa depan industri penerbangan global dengan penekanan kepada keterhubungan, transformasi pintar, kecerdasan buatan, tenaga hijau, dan standardisasi infrastruktur.

Dato Sri Lee menegaskan bahawa Sarawak membuka pintu untuk kerjasama lebih erat dengan pihak berkuasa penerbangan antarabangsa, institusi penyelidikan, dan rakan industri dalam meneroka masa depan mobiliti lestari dan pintar.

Selain forum utama, dua sub-forum tematik turut diadakan untuk membincangkan inovasi teknologi penerbangan, sistem pengurusan pintar, dan amalan pembangunan lestari daripada perspektif global.

Dengan penyertaan pakar dari pelbagai negara, forum ini mengukuhkan kedudukannya sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama dan inovasi global dalam sektor penerbangan. -EDISI UKAS