SRI AMAN: Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis telah mengadakan lawatan kerja ke Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) bagi meninjau status pelaksanaan beberapa projek pembangunan yang sedang dijalankan di kawasan Simanggang.
Lawatan ini bertujuan memastikan semua projek pembangunan yang dipertanggungjawabkan kepada MDSA berjalan mengikut jadual, menepati spesifikasi serta memberi manfaat langsung kepada penduduk tempatan.
Antara projek yang diberi taklimat semasa lawatan tersebut ialah Projek Benak Observation Tower, Projek Pangkalan Ikan Bulu, Sri Aman Peace Park, serta beberapa projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Pada sebelah petang, Datuk Francis bersama rombongan turut meneruskan lawatan ke Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sri Aman bagi mendengar taklimat mengenai beberapa projek perparitan dan pembentengan sungai.
Ia termasuk Projek Menaik Taraf Sistem Perparitan Masjid Darul Syakirin Kpg Muhibbah Sri Aman, Projek Pembinaan Benteng Sungai Suang (Rh Jeluka) Sabu, Projek Menaik Taraf Sistem Perparitan di Taman Kurniaman Fasa II, Pasir Panas, serta status projek perparitan di Taman Tiara, Kampung Resak, Kampung Muhibbah/RPR dan Taman Siang.
Berucap ringkas, Datuk Francis Harden menegaskan bahawa tujuan utama lawatan ini adalah untuk mengenal pasti tahap kemajuan projek, termasuk beberapa projek yang masih belum dilaksanakan walaupun telah mendapat kelulusan peruntukan.
"Setiap agensi pelaksana bertanggungjawab memastikan projek disegerakan sebaik peruntukan diterima, di samping mengelakkan karenah birokrasi yang boleh melambatkan pelaksanaan projek berkenaan," jelasnya.
Tambahnya, pembangunan yang dijalankan adalah hasil daripada keupayaan Sarawak mengurus sumber kekayaan negeri secara mampan, di mana hasil tersebut dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan dan kemudahan awam.
Datuk Francis turut meluang masa meninjau kemajuan projek pembinaan jambatan konkrit merentangi Sungai Undop di Kampung Beleti, Sabu, Sri Aman. -EDISI UKAS