LUBOK ANTU: Karnival STEM Bersepadu dan Pendidikan Kerjaya SMK Lubok Antu membuka peluang untuk meningkatkan minta pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Program anjuran SMK Lubok Antu itu diadakan bagi menyahut usaha kerajaan Sarawak dalam melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang STEM sebagai pemacu pembangunan negeri ke arah ekonomi digital dan berpendapatan tinggi.
Majlis Perasmian Penutupan Karnival STEM Bersepadu dan Pendidikan Kerjaya SMK Lubok Antu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis di Dewan SMK Lubok Antu pada Khamis.
Program yang berlangsung selama empat hari bermula 22 hingga 25 Oktober 2025 itu telah disertai oleh 901 peserta daripada 24 buah sekolah di Daerah Lubok Antu, termasuk dua sekolah menengah dan 22 sekolah rendah.
Sebagai galakan terhadap inisiatif sekolah memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Sarawak telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada SMK Lubok Antu bagi membiayai pelbagai aktiviti berkaitan STEM di sekolah berkenaan.
Datuk Francis Harden turut meluluskan peruntukan MRP tahun 2026 berjumlah RM20,000 kepada PIBG SMK Lubok Antu bagi membiayai aktiviti sekolah yang menyumbang kepada kemenjadian murid. -EDISI UKAS