GEDONG: Raptai penuh sempena keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Daerah Gedong telah berlangsung dengan lancar di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong pada Jumaat.
Raptai yang bermula pada jam 9.00 pagi itu diadakan bagi memastikan segala persiapan dan atur cara majlis keberangkatan Diraja ke daerah berkenaan berjalan dengan sempurna serta mematuhi protokol istiadat Diraja.
Pelaksanaan sesi raptai turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan termasuk pihak berkuasa tempatan, pasukan keselamatan serta jabatan-jabatan teknikal bagi menyelaras segala aspek logistik, keselamatan dan tatacara majlis.
Turut hadir menyaksikan sesi raptai ialah Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, wakil-wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta pegawai-pegawai protokol dari Istana Pahang yang bersama-sama memastikan setiap perincian majlis rasmi Diraja berkenaan disusun dengan rapi dan mengikut tatacara istiadat.
Tumpuan utama diberikan kepada penyusunan tempat duduk kenamaan, laluan keberangkatan, kawalan keselamatan serta penyelarasan persembahan yang akan diadakan sempena keberangkatan Baginda berdua kelak.
Dengan pelaksanaan raptai ini, pihak penganjur yakin segala urusan dan acara sebenar keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang ke Gedong pada 1 November 2025 akan berlangsung dengan lancar, teratur serta penuh adat istiadat dan kemuliaan diraja. -EDISI UKAS