SMK Kai Chung Terus Cemerlang, Jadi Kebanggaan Meradong

Disiarkan pada 31 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


MERADONG: Kecemerlangan berterusan yang diraih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung menjadikan sekolah itu antara institusi pendidikan kebanggaan daerah Meradong, hasil dedikasi guru, kegigihan pelajar serta sokongan padu komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kejayaan yang dicapai oleh sekolah tersebut dalam pelbagai bidang wajar dijadikan contoh dalam melahirkan pelajar berkualiti dan berdaya saing.

“Sebagai institusi pendidikan tersohor, sekolah ini telah mencipta pelbagai kejayaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, khususnya dalam bidang kokurikulum dan sukan.

“Dalam bidang akademik pula, SMK Kai Chung antara sekolah terbaik di daerah Meradong dengan keputusan SPM 2024 yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Apresiasi dan Anugerah Kecemerlangan SMK Kai Chung sesi 2025 pada Jumaat.

Bercakap mengenai majlis berkenaan, Datuk Ding menyeru semua murid agar menjadikan penganugerahan itu sebagai dorongan untuk terus berusaha dan membanggakan sekolah, keluarga serta negara sekali gus menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Pada majlis itu, beliau turut menyalurkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada pihak sekolah bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan SMK Kai Chung bagi tahun 2026.

Turut hadir, Pengetua SMK Kai Chung En Nguang Seng, Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Sharifah Idawati Wan Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Dato’ Thomas Ung Sing Ung, Yang Dipertua PIBG SMK Kai Chung Abdul Karim Abdul Rahman, Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar SMK Kai Chung Kapitan Kiu Chiong Chui, Pegawai Perhubungan Sekolah Tan Juo Chi dan Dermasiswa Tang Hing Kio Michael Tang Tung Kin.-EDISI UKAS