KUCHING: Sarawak Regatta 2025 membuka tirainya dengan penuh semangat di Kuching Waterfront, menandakan bermulanya antara acara sukan air paling berprestij di wilayah ini.
Acara pembukaan menyaksikan saingan hebat dalam kategori Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Terbuka) bagi merebut Piala Antarabangsa Borneo, diikuti oleh perlumbaan Perahu Bidar 15 Pekayuh Lelaki (Terbuka) yang turut menarik penyertaan daripada pasukan dalam dan luar negara.
Tumpuan utama hari ini pastinya kepada kategori Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Tempatan) yang mempertaruhkan Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak (Raja Sungai), antara anugerah paling berprestij dalam sejarah Regatta.
Sementara itu, perlumbaan Perahu Bidar 15 Pekayuh Lelaki (Tempatan) bagi Piala Perpaduan dan Perahu Bidar 25 Pekayuh Lelaki (Tempatan) bagi Piala Petros turut menambah kehangatan persaingan di laluan Sarangan A.
Penganjuran Sarawak Regatta 2025 bukan sekadar pertandingan sukan air, tetapi juga simbol keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum di Sarawak.
Tradisi turun-temurun ini terus menjadi lambang kekuatan semangat masyarakat negeri ini serta tarikan utama kepada pelancong dari dalam dan luar negara. -EDISI UKAS