Pemetaan Akademik Perkukuh Laluan Pelajar TVET Ke Universiti Milik Sarawak

Posted on 30 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan mewujudkan pemetaan akademik antara universiti negeri dengan semua politeknik dan kolej vokasional di seluruh Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, usaha itu akan memberi laluan yang lebih jelas dan mudah kepada pelajar diploma untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.

“Pada Julai lalu, saya telah mengarahkan empat universiti negeri iaitu Kolej Universiti ICATS, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) supaya mewujudkan pemetaan akademik dengan semua politeknik dan kolej vokasional di Sarawak.

“Langkah ini membolehkan pelajar diploma melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah melalui sistem pindahan kredit,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Kolej Vokasional Matang Tahun 2025 di Dewan Sri Mutiara, Kolej Vokasional Matang pada Khamis.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan kursus yang ditawarkan di universiti negeri selaras dengan program di kolej vokasional dan politeknik, seterusnya membuka laluan pendidikan yang lebih jelas untuk pelajar Sarawak.

“Saya akan minta universiti-universiti ini datang ke Kolej Vokasional Matang untuk memberi penerangan kepada pelajar mengenai peluang melanjutkan pengajian tahun hadapan,” ujarnya.

Datuk Dr. Annuar menegaskan, kerajaan Sarawak mahu lebih ramai pelajar meneruskan pengajian selepas diploma dan tidak berhenti di peringkat itu sahaja.

Beliau menjelaskan, ini disebabkan Kerajaan Sarawak akan menawarkan pendidikan tinggi percuma di keempat-empat universiti negeri mulai tahun depan terutamanya dalam bidang STEM, selain skim bantuan lain untuk para pelajar.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah memastikan kursus di universiti sepadan dengan kursus di kolej vokasional dan politeknik supaya pelajar boleh meneruskan pengajian dengan mudah dan mendapat manfaat daripada dasar pendidikan percuma yang diperkenalkan.

Beliau berharap para pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang ini dengan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi demi masa depan mereka dan kemajuan negeri Sarawak.

Turut hadir ialah Pengarah Kolej Vokasional Matang Jamali Muhamad, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembelajaran Sathi Saravana Subramaniam, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Padawan Bolkiah Ali, dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuching Ahat @ Salim Angas.-EDISI UKAS

Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Douglas Demong