Squad Rhinos Lakar Hatrik Juarai Liga Setia Raja MuFA 2025

Disiarkan pada 20 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Kehebatan pasukan Squad Rhinos terus terserlah apabila sekali lagi menjuarai Liga Setia Raja MuFA 2025 (LSRM 2025) selepas menumpaskan Auslander FC dengan keputusan 1-0 pada perlawanan akhir berlangsung di Padang Mesra Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) pada Ahad.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib yang turut menzahirkan penghargaan kepada 13 pasukan yang bertanding atas semangat kesukanan dan komitmen tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.

“Kejohanan seperti ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi platform untuk memupuk semangat perpaduan serta mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia di Mukah,” ujar beliau.

Beliau yang juga Penaung MuFA menegaskan komitmen dan sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan di peringkat akar umbi selaras dengan agenda kerajaan dalam memperkasa penyertaan belia serta memperkukuh perpaduan komuniti melalui sukan.

“Kerajaan sentiasa menyokong penganjuran aktiviti kesukanan seperti ini yang memberi manfaat besar kepada komuniti tempatan dari segi kesihatan, sosial dan pembangunan bakat,” tambahnya.

Bagi Squad Rhinos dari Bintulu , ia pastinya detik manis bagi mereka apabila berjaya mencatat kejuaraan hatrik selepas turut menjuarai edisi 2023 dan 2024.

Perlawanan akhir yang sengit itu menyaksikan bekas pemain Kuching City FC, Zulikhsan Salleh, muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-90+7.

Dengan kejayaan berkenaan, pasukan kendalian Sahran Abdul Samad membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta piala pusingan, piala iringan dan pingat.

Naib juara, Auslander FC turut menerima wang tunai RM6,000, manakala Crackers menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Banqku FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dan membawa pulang RM4,000.

Banqku FC pula menerima RM2,000 sebagai hadiah saguhati.

Selain itu, Zulikhsan Salleh turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan dengan menerima wang tunai RM200, manakala rakan sepasukannya, Mohd. Haisal Yusuf diumumkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan 12 gol serta menerima RM300.

Pasukan TNG Legacy FC pula dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik dan menerima RM500.

Majlis berkenaan turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MuFA) ASP Khairul Anuar Adeni, Pengerusi Kejohanan Abdul Rahman Saibi serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.-EDISI UKAS