Belia Sarawak Perlu Persiapkan Diri Dengan Ilmu Teknologi Terkini, AI

Posted on 19 Oct 2025
Source of News: UKAS


BINTULU: Belia di negeri ini perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu berteraskan teknologi terkini dan kecerdasan buatan (AI) bagi meneruskan aspirasi menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan, belia berpengetahuan tinggi menjadi kunci dalam menggerakkan ekonomi negara ini malah di rantau ASEAN.

Katanya, keupayaan Sarawak dalam tenaga diperbaharui turut diakui Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim yang mahu Sarawak menyumbang dalam pembangunan Grid Tenaga ASEAN.

“Maka Kerajaan Sarawak hari ini, saya nak mempersiapkan anda semua supaya mengeluarkan tenaga bagi menggerakkan ekonomi ASEAN.

“Sebab itulah Perdana Menteri meminta kepada saya, bolehkah Sarawak menjadi penyumbang kepada tenaga ASEAN Grid,” katanya berucap pada majlis penutupan Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 di Dewan Suarah Bintulu pada Ahad.

Hadir sama Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat.

Menurut Premier, kelebihan sumber alam semula jadi dimiliki Sarawak memberi wilayah ini keupayaan untuk menjana pelbagai tenaga diperbaharui yang menjadi sumber ekonomi baharu negeri ini.

Katanya, sumber alam semula jadi ini merupakan harta intelek yang akan membangunkan Sarawak dan memainkan peranan melangkaui negara serta memacu aspirasinya muncul sebagai "Star Of ASEAN”.

Sehubungan itu, beliau menggesa belia agar berdisiplin dan beraspirasi untuk menjadi pemimpin masa masa hadapan yang akan memandu negeri ini di haluan yang betul.

“Kalau pemimpin masa depan tidak mempunyai visi, tidak dapat menganalisa kekuatan yang ada pada kita, yang tidak dapat membawa haluan yang betul, negeri kita akan kucar-kacir. Jadi kita mesti bijak mengurus,” tegas Premier lagi.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, dif-dif kenamaan lain, ketua-ketua jabatan serta para belia. - EDISI UKAS