KUCHING: Program Gotong-Royong Taman Sejoli mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 100 peserta hadir menjayakan aktiviti bermula seawal jam 8 pagi, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, semangat gotong-royong amat penting dalam memupuk perpaduan serta tanggungjawab bersama terhadap kebersihan kawasan kediaman.
Turut hadir menjayakan program berkenaan ialah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya, wakil daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, penduduk kawasan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pembersihan kawasan perumahan, longkang dan taman permainan, pemangkasan pokok, serta pengumpulan sisa pepejal bagi memastikan persekitaran lebih bersih dan sihat.
Usai merasmikan program tersebut, Dato Fazzrudin turut berkesempatan hadir ke Program Jom Sihat Komuniti Sejahtera dan Jualan Agro Sarawakku Sayang yang berlangsung di Dewan Taman Malihah.
Program anjuran bersama oleh Parti Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Taman Malihah, JKKK Taman Malihah, KRT Taman Malihah Fasa 2 dan Dewan Taman Malihah, dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuklah fun games, pertunjukan fesyen, jualan usahawan tempatan, pertandingan make-up, saringan kesihatan, gubahan ulam-ulaman, senam aerobik dan pelbagai lagi.
Program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh semangat kejiranan, mempromosikan kesihatan komuniti serta memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka kepada masyarakat setempat. -EDISI UKAS