Kolej Tingkatan Enam Saratok Dinobat Juara Keseluruhan Karnival Sukan & Kokurikulum Tingkatan 6 Sarawak

Posted on 17 Oct 2025
Source of News: UKAS


SARATOK: Kolej Tingkatan Enam Saratok muncul sebagai juara keseluruhan dalam Karnival Sukan dan Kokurikulum Tingkatan 6 Peringkat Sarawak yang berlangsung selama tiga hari di Daerah Saratok baru-baru ini.

Karnival ini menyaksikan penyertaan sebanyak 16 Pusat Tingkatan Enam (PTE) dari seluruh Sarawak, termasuk PTE SMK Sri Aman, PTE SMK Engkelili, PTE Kanowit, PTE SMK Agama Sibu, PTE SMK Asajaya, PTE SMK Simunjan No.1, PTE SMK Three Rivers, PTE SMK Sungai Paoh, PTE SMK Agama Saratok, PTE Datuk Patinggi Kedit, PTE SMK St. Augustine, PTE SMK Spaoh, PTE SMK Pusa, PTE SMK Saribas, dan tuan rumah Kolej Tingkatan Enam Saratok.

Pelbagai acara sukan, pertandingan pidato, nyanyian, serta tarian etnik telah diadakan sepanjang karnival di mana setiap PTE mewakili 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dari seluruh Sarawak, menjadikan karnival ini sebagai platform penting untuk membentuk sahsiah, disiplin, semangat kesukanan, serta mengasah bakat pelajar Tingkatan 6.

Selain itu, karnival turut memupuk nilai persahabatan dan keharmonian antara pelajar dari pelbagai daerah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri dalam ucapannya penutupannya berharap karnival seumpama ini dijadikan agenda tahunan bagi mencungkil potensi dan bakat pelajar Tingkatan 6 di seluruh negeri Sarawak.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid Sektor Pembangunan Murid Johnny Rasit, wakil pegawai Pendidikan Daerah Saratok Aziz Morshidi, Pegawai Daerah Saratok Mohd Dino Amit serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS