KUCHING: Seramai 42 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam istiadat pengurniaan yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak, pada Sabtu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof mendahului senarai penerima dengan dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) yang membawa gelaran Datuk Amar.
Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (FCCS) Dato Richard Wee Liang Chiat, masing-masing menerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S) yang membawa gelaran Dato Sri.
Lima lagi individu menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K) yang membawa gelaran Datuk, iaitu Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai & Laut) Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II Dato Majang Renggi dan Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Datu Ik Pahon Joyik.
Selain itu, seramai sembilan individu menerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu, iaitu Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Adana Jed, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr Cassidy Morris, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak Awang Mohamad Fadillah Awang Redzuan, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, Pengarah Unit Pengurusan Dan Pembangunan Sumber Manusia Sharifah Rohana Datu Wan Alwi, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak Zainal Abidin Abdullah, Pengurus Besar SALCRA Joseph Blandoi dan Huong Siu Hung.
Manakala 25 lagi individu dianugerahkan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S) yang membawa gelaran Dato, antaranya, isteri Setiausaha Kerajaan Sarawak Datin Amar Baduyah Bujang, Datin Sri Angelina Celestine Ujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh, ADUN Meluan Rolland Duat Jubin, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab dan Setiausaha Sulit Kepada Premier Sarawak Ahmad Hazlan Ismawi.
Istiadat yang penuh adat itu turut disaksikan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Hadir sama ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama anakanda beliau Dayang Norjihan, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan kabinet negeri.-EDISI UKAS
Disediakan: Nur Nabilla
Foto: George