KUCHING: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi lambang perkongsian setara yang memperkukuh kedudukan serta hak Sarawak dan Sabah dalam Persekutuan Malaysia sejak penubuhannya lebih enam dekad lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, MA63 bukan sekadar dokumen sejarah, sebaliknya asas kepada sistem persekutuan yang menjamin autonomi, hak dan kepentingan negeri ini.
“Persekutuan kita tidak dibina atas dasar penguasaan satu pihak terhadap pihak lain, tetapi berteraskan perkongsian.
“Ia tidak menuntut keseragaman, sebaliknya menghormati kepelbagaian dan bukan berdasarkan kepada pemusatan kuasa tetapi keseimbangan perlindungan yang menjaga hak serta kepentingan Sarawak dan Sabah untuk generasi akan datang,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program International Legal Talk Series di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Datuk Sharifah Hasidah turut menjelaskan bahawa MA63 merupakan komitmen berterusan yang menjadi panduan kepada kerajaan dalam memastikan dasar dan undang-undang negara kekal sejajar dengan prinsip rakan kongsi setara.
“Tiada satu pihak pun boleh mendominasi pihak yang lain kerana Malaysia dibentuk atas dasar perkongsian.
“MA63 bukan sekadar dokumen sejarah, tetapi ia merupakan batu asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia. Ia merangkumkan syarat-syarat yang telah dirunding dengan teliti sehingga Malaysia lahir sebagai sebuah negara.
“Oleh itu, MA63 adalah dokumen paling penting bagi Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai kejayaan penting telah dicapai hasil rundingan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan, termasuk pindaan terhadap Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Sarawak Sovereign Wealth Future Fund, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Tun Jugah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato' Fazzrudin Abdul Rahman.
Turut hadir dua tokoh akademik terkenal, Prof Michael Leigh dan Prof Andrew Harding yang membincangkan evolusi federalisme, hak perlembagaan serta peranan MA63 dalam memperkukuh kedudukan Sarawak dan Sabah di peringkat nasional.—EDISI UKAS