Awla Dris Lakukan Lawatan Tapak Persiapan Majlis Rasmi Pesta Simunjan 2025

Disiarkan pada 01 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris mengetuai lawatan tapak ke kawasan Regatta dan Simunjan Kitchen bagi meninjau persiapan menjelang majlis rasmi sempena Pesta Simunjan 2025 yang diadakan pada Selasa.

Lawatan tersebut diadakan sejurus selepas Mesyuarat Penyelarasan Majlis Perasmian Pesta Simunjan dan Pelancaran Simunjan Kitchen pada 3 Oktober, serta Majlis Penangguhan Pesta Simunjan yang dijadualkan pada 5 Oktober.

Di tapak Regatta, kerja-kerja pemasangan khemah dan pentas utama sedang giat dilaksanakan, manakala di Simunjan Kitchen, susun atur fasiliti dan persediaan gerai turut diperhalusi bagi memastikan kelancaran acara pelancaran.

Pesta Simunjan 2025 telah bermula sejak 26 September lalu dengan pembukaan Bazaar Jualan manakala acara kemuncak akan berlangsung pada 3 hingga 5 Oktober.

Majlis penangguhan pada 5 Oktober dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. -EDISI UKAS