KABONG: Jumlah kes demam denggi mencatatkan penurunan ketara sebanyak 63.54 peratus apabila hanya 548 kes direkodkan sehingga Minggu Epid (EW) 38 tahun ini berbanding 1,503 kes pada tempoh sama tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menyeru masyarakat agar mengamalkan konsep 1 Hour Malaysia Clean Up setiap bulan selain meluangkan masa 10 minit setiap hari untuk memeriksa kawasan rumah masing-masing.
“Selain menjaga kebersihan persekitaran, rakyat perlu menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan kesihatan denggi agar tindakan pencegahan dapat dilaksanakan segera,” katanya ketika merasmikan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Kabong, pada Sabtu.
Seiring usaha berterusan membanteras Aedes, Kabong dipilih sebagai lokasi Gotong-Royong (GORO) Mega Perangi Aedes 2.0 Peringkat Negeri Sarawak anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Bahagian Betong.
Bagi Bahagian Betong, jumlah kes turut menurun sebanyak 66.12 peratus dengan hanya 24 kes dilaporkan setakat ini berbanding 71 kes pada tahun 2024.
Tiada kematian direkodkan di bahagian tersebut tahun ini, manakala di peringkat negeri hanya satu kes kematian dicatatkan berbanding enam pada tahun lalu.
Program GORO diadakan dua kali setahun di kawasan terpilih dengan aktiviti pembersihan besar-besaran bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee, Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr Mohamad Norhaizam Ahmad@Narawi serta Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Radin Mohd Nurrahman Radin Dorani.-EDISI UKAS