KOTA SAMARAHAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan kontrak sosial terpenting dalam mengekalkan keharmonian dan kestabilan Persekutuan Malaysia.
Dalam Syarahan Negarawan bertajuk Perjanjian Malaysia 1963: Kunci Keharmonian Persekutuan (Malaysia Agreement 1963: The Key To Federal Harmony) yang berlangsung di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Jumaat, beliau menekankan bahawa MA63 tidak wajar dilihat sekadar dokumen sejarah, sebaliknya adalah asas pembentukan negara yang terus hidup dan relevan dalam kerangka pentadbiran serta hubungan Persekutuan-Negeri.
Beliau menjelaskan bahawa MA63 menetapkan hak dan tanggungjawab setiap entiti dalam Persekutuan, termasuk mengiktiraf kedudukan istimewa Sarawak dan Sabah dari aspek imigresen, kewangan, pendidikan, bahasa, agama, tanah, sumber asli serta hasil negeri.
Tegasnya, pemahaman menyeluruh terhadap perjanjian itu penting agar prinsip keadilan dan keharmonian dapat terus dipelihara.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut mengingatkan bahawa dalam era media sosial kini, isu berkaitan MA63 sering dibahaskan tanpa asas ilmu yang kukuh.
Justeru, beliau menyeru supaya perbincangan mengenai MA63 dipandu oleh pendidikan berteraskan fakta, dialog beradab serta penyelidikan akademik yang mendalam agar masyarakat memperoleh kefahaman yang lebih seimbang dan berautoriti.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Tun Pehin Sri atas kesudian menyampaikan syarahan tersebut.
Katanya, program seumpama ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman sejarah negara dan semangat perpaduan, malah selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berpengetahuan, berwawasan serta berjiwa nasional.
Menurutnya, Syarahan Negarawan oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi merupakan platform penting untuk menyemai kesedaran sivik dan mengukuhkan nilai setia negara, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada warga UNIMAS dan masyarakat Sarawak dalam memahami perjalanan sejarah penubuhan Malaysia.-EDISI UKAS