BGK 2025: Dylan Leo Saran Gegar Trek 100m, Sumbang Emas Buat Sarawak

Disiarkan pada 25 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Atlet Sarawak, Dylan Leo Saran, melakar kejayaan manis apabila merangkul emas dalam acara 100 meter lelaki di Sukan Borneo 2025 dengan catatan 10.67 saat, sekali gus merekodkan pencapaian peribadi terbaiknya.

Kemenangan tersebut mengukuhkan kedudukan kontinjen tuan rumah di gelanggang sendiri, dengan Dylan mengakui catatan kali ini sangat bermakna buatnya.

“Empat kali saya catat 10.6 sebelum ini, tapi kali ini 10.67 saat adalah yang paling memuaskan. Selepas ini, fokus saya adalah untuk acara seterusnya,” katanya ketika ditemui media di Stadium Negeri, pada Khamis.

Sarawak turut menyapu bersih pingat emas dan perak acara tersebut apabila pelari, Jonathan Nyepa, menamatkan larian di tempat kedua dengan catatan 10.70 saat.

Diikuti tempat ketiga dimenangi atlet Sabah, Dextar Bedie, dengan masa 10.87 saat.-EDISI UKAS