KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkesempatan melawat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong pada Jumaat.
Lawatan ini memberi ruang kepada pihak Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melihat sendiri fasiliti dan keadaan prasarana sekolah, termasuk bilik guru, blok akademik, asrama serta kemudahan lain yang amat penting bagi keselesaan pelajar dan guru di sekolah ini.
Dato Sri Nancy menerusi laman Facebook berharap lawatan akan membuka jalan kepada penambahbaikan yang lebih menyeluruh demi memastikan anak-anak yang bersekolah di situ mendapat suasana pembelajaran yang selamat, kondusif dan berkualiti.
Kehadiran kedua-dua pemimpin itu di sekolah tersebut bagi menegaskan komitmen terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani isu infrastruktur sekolah, keselamatan pelajar serta memperkasakan bahasa Melayu dan Inggeris di seluruh negara, khususnya di Sarawak.
Sementara itu ketika ditemui media, Fadhlina memuji Dato Sri Nancy selaku Ahli Parlimen Santubong yang banyak membantu pembangunan sekolah di kawasan itu.
Beliau turut manzahirkan ucapan tahniah kepada pihak sekolah dan guru atas kejayaan membanggakan, termasuk kemenangan guru sekolah tersebut dalam Pertandingan Pidato Rukun Negara baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fadhlina memberitahu, lebih 280 daripada 389 sekolah daerah di Sarawak telah siap dibina atau dinaik taraf, manakala baki projek lain sedang giat dilaksanakan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat. -EDISI UKAS