Cuti Umum Sempena Hari Keputeraan Agong Pada 3 Jun Kekal, Sambutan Pada September

Disiarkan pada 02 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 3 Jun akan kekal sebagai cuti umum walaupun sambutannya akan diadakan pada September depan.

Perkara ini dimaklumkan oleh Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Dalam kenyataan itu menyebut, pertabalan Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai kelak dan tarikh 3 Jun telah pun diwartakan sebagai tarikh rasmi hari keputeraan baginda dan hari kelepasan am.

“Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan supaya sambutan (Hari Keputeraan Baginda) itu ditangguhkan dari Jun ke September bagi memberi laluan kepada istiadat pertabalan dan acara lain sempena pertabalan baginda pada Julai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi jawatankuasa khas berkenaan acara yang akan diadakan sempena pertabalan itu.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 akan diadakan di Istana Negara.-EDISI UKAS