BINTULU: Persiapan Bintulu sebagai tuan rumah Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025 pada 14 hingga 16 September ini giat dilaksanakan dengan pelbagai pengisian acara rasmi dan berkonsepkan rakyat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab sambutan berkenaan, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, sambutan bertemakan “Sarawak Maju Makmur Dalam Malaysia” itu dijangka menghimpunkan ribuan rakyat pelbagai kaum dari seluruh negeri bagi meraikan ulang tahun ke-62 pembentukan Malaysia.
“Sebagai Menteri yang dipertanggungjawabkan, saya bersama barisan Timbalan Menteri turut menggalas amanah memastikan kelancaran penganjuran acara ini.
“Bintulu dipilih bukan sahaja kerana peranannya sebagai bandar industri baharu, tetapi juga sebagai simbol perpaduan rakyat berbilang kaum di Sarawak,” katanya dalam program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini, pada Selasa.
Beliau menjelaskan, lima acara utama telah disusun sepanjang sambutan, iaitu Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain (14 September), Majlis Kesyukuran (15 September), Malaysia Day Run (16 September), Perhimpunan Sambutan Perayaan Hari Malaysia (16 September), serta Konsert Rakyat (16 September) selepas Majlis Rasmi Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025 pada malam tersebut.
Perhimpunan utama akan berlangsung di Tapak Lapangan Terbang Lama, Bintulu pada 16 September bermula jam 8 malam, dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.
Sementara itu, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti menyeru rakyat Sarawak mengibarkan Jalur Gemilang di bangunan kerajaan, premis perniagaan, sekolah dan kediaman masing-masing sebagai tanda kebersamaan menyambut Hari Malaysia.
“Setakat ini pelbagai persiapan telah dilakukan oleh Pejabat Residen bersama agensi lain untuk memastikan kelancaran sambutan, termasuklah persiapan Festival Layang-Layang Bintulu,” katanya.
Bagi memastikan semarak sambutan dirasai seluruh negeri, siaran langsung akan dibuat melalui TVS saluran 122 Astro dan MyTV serta platform media sosial UKAS.-EDISI UKAS