BINTULU: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2025 bakal kembali mewarnai langit Bintulu dengan penganjuran pada 17 hingga 21 September ini di Lapangan Terbang Lama Bintulu.
Acara tahunan yang dinanti-nantikan itu mengekalkan reputasinya sebagai festival bertaraf antarabangsa apabila menarik penyertaan daripada 29 negara.
Penganjuran kali ini turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertunjukan layang-layang beraneka bentuk, persembahan kebudayaan, pameran, jualan serta aktiviti riadah untuk seisi keluarga.
Festival yang telah menjadi ikon pelancongan di Bintulu ini bukan sahaja menyerlahkan kreativiti dan keunikan seni layang-layang, tetapi juga berperanan sebagai jambatan budaya yang menghubungkan masyarakat tempatan dengan komuniti antarabangsa.
Penganjur menjangkakan ribuan pengunjung akan membanjiri kawasan festival sepanjang lima hari penganjuran, sekali gus memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bagi bersama-sama memeriahkan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo 2025 yang menjadi kebanggaan Bintulu dan Sarawak di pentas dunia.-EDISI UKAS