Perarakan Hari Gawai Dayak Kampung Taee Tarik Ribuan Pengunjung

Disiarkan pada 01 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS



SERIAN: Seramai 1,000 penduduk dan pengunjung telah membanjiri Kampung Taee untuk menyambut Hari Gawai Dayak pada Sabtu.

 

Perayaan itu disambut dengan perarakan tradisi sepanjang 2 kilometer (km) yang bermula dengan mempamerkan pakaian tradisi dan pakaian pahlawan masyarakat Bi-Bukar Bidayuh. 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada turut hadir menyempurnakan acara tersebut.

 

Dalam kenyataan media pada Sabtu, Pengerusi Penganjur George Oscar berkata, beliau amat berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa yang telah bersama-sama meraikan Hari Gawai Dayak bersama komuniti di situ. 

 

“Acara ini bukan sekadar perarakan semata-mata namun ia turut mempamerkan seni, budaya, tarian tradisi dan muzik dari suku kaum Bukar Sadong masyarakat Bidayuh,” katanya.

 

Sepanjang perayaan itu, pengunjung dihidangkan masakan tradisional oleh penduduk kampung dan istimewa kali ini turut menghidangkan minuman Pepsi edisi terhad Pesta Menuai 2024.

 

Pepsi Malaysia juga menaja penciptaan pelampung untuk perarakan itu yang berbentuk sawah bagi melambangkan tradisi lama sebagai simbolik menghormati warisan budaya Borneo yang kaya dan didedikasikan untuk memupuk perpaduan dan penghargaan seni.

 

Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan turut menzahirkan perasaan gembira dapat menyambut perayaan Hari Gawai bersama penduduk Kampung Taee tahun ini, kerana perjalanan Pepsi di Malaysia Timur didorong oleh komitmen ikhlas untuk memelihara dan mempromosikan tradisi unik dan warisan seni wilayah.

 

"Kami berbesar hati menyokong dan memartabatkan komuniti kreatif tempatan. Tahun ini, kami turut menghasilkan muzik video dan lagu bertajuk ‘Happy Gawai Kaamatan’ dan menyaksikan pengunjung dan masyarakat Kampung Taee menari mengikut muzik kami semasa perarakan amat mengharukan,” ujarnya.

 

Untuk meraikan kepelbagaian dan perpaduan, Pepsi telah melancarkan tin edisi terhad Pesta Menuai 2024 tersedia secara eksklusif di Malaysia Timur yang direka oleh artis Malaysia Timur yang berbakat iaitu Daphne Siaw dan Charles Mawan.

 

Visual tin yang menarik ini mempamerkan corak dan simbol yang menggabungkan elemen budaya dari Sarawak dan Sabah yang turut melambangkan semangat perpaduan dan perayaan. 

 

Difahamkan, masyarakat Kampung Taee juga akan menyertai perarakan sambutan Hari Gawai Dayak 2024 peringkat negeri pada 15 Jun di Bandaraya Kuching. -EDISI UKAS