JUMAAT, 31 MEI 2024
KUCHING: Ir. Ts. Gs. Br. Dr. Cassidy Morris dilantik sebagai Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang baharu berkuatkuasa 29 Mei 2024.
JKR Sarawak dalam satu hantaran di laman media sosial Facebook pada Ahad berkata, majlis serah tugas di antara mantan pengarah Datu Ir. Ts. Richard Tajan dan Dr. Cassidy telah berlangsung di ibu Pejabat JKR di Wisma Saberkas serta disaksikan oleh pegawai-pegawai kanan jabatan tersebut.
Anak kelahiran Saratok ini mempunyai kelulusan dalam Doctor of Business Administration (DBA) dan Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan (MBA) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Struktur daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dr. Cassidy mula bertugas sebagai jurutera awam di JKR Bahagian Samarahan dari tahun 1998 sehingga tahun 2008 sebelum dilantik sebagai Jurutera Bahagian di Saratok dan Sri Aman dari tahun 2008-2017.
Dari tahun 2017 sehingga tahun 2020, beliau telah ditugaskan sebagai Pengurus Wilayah di Pejabat Wilayah Tengah (Sibu) JKR Sarawak dan ditukar ke ibu pejabat di Kuching sebagai Ketua Projek dan Ketua Aset dari tahun 2020 hingga tahun 2022.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Infrastruktur) dari tahun 2022 sehingga Mei 2024.
Dengan pengalaman dalam bidang kejuruteraan selama 26 tahun bersama JKR Sarawak, beliau turut memiliki beberapa pengiktirafan profesional seperti Jurutera Profesional (Ir.) oleh Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia); Juruteknologi Profesional (Ts.) oleh Lembaga Teknologi Malaysia (Malaysia Board of Technologists); Geospatialist (Gs.) oleh Persatuan Geospatial dan Remote Sensing Malaysia (Institution of Geospatial and Remote Sensing Malaysia) dan Ahli Jurubina Bertauliah (Br.) daripada Persatuan Pentauliahan Pengurus Projek Pembinaan Malaysia (ACCPM).-EDISI UKAS