SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee menegaskan komitmennya dalam membantu golongan muda melalui pemberian bantuan khas kepada pasangan pengantin baharu, keluarga bayi baharu dan pelajar di kawasannya.
Sehingga tahun ini katanya, jumlah keseluruhan agihan bantuan sejak 2022 telah mencecah RM476,900.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM81,500 diagihkan pada 2022, RM162,500 (2023), RM134,800 (2024) dan sehingga Ogos pada tahun ini sebanyak RM78,200, melibatkan penerima daripada kategori perkahwinan, kelahiran bayi serta pendidikan.
“Majlis ini bukan sahaja memberi bantuan kewangan, tetapi juga ruang untuk anak muda dan ibu bapa baharu berkumpul, berkongsi pengalaman serta mendapat bimbingan.
“Tahun ini kita jemput penceramah untuk berkongsi ilmu keibubapaan agar mereka bukan sekadar datang menerima bantuan, tetapi pulang dengan ilmu yang bermanfaat,” katanya pada Majlis Bantuan Perkahwinan, Bayi Baharu dan Pendidikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan di Kingwood Hotel Sibu, pada Ahad.
Beliau berkata, peningkatan jumlah bayi yang didaftarkan saban tahun merupakan perkembangan positif, mencerminkan semakin ramai pasangan muda berani membina keluarga meskipun berdepan cabaran kos sara hidup dan pendidikan.
Dalam perkembangan lain, Datuk Micheal Tiang yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak mendedahkan bahawa kerajaan negeri telah memutuskan untuk mengharamkan penggunaan vape dalam masa terdekat.
“Kerajaan Persekutuan dan Sarawak tegas menolak vape kerana ia lebih berbahaya daripada rokok.
“Malah kini ia menjadi saluran penagihan dadah. Masyarakat perlu ambil maklum bahawa vape bukan lagi isu gaya hidup, tetapi ancaman kesihatan dan sosial,” tegasnya.-EDISI UKAS