SEBUYAU: Program Project of Dream Realized (Pro-DR) Siri Ke-10 anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) membuka ruang pendidikan, latihan dan peluang kerjaya kepada pelajar serta belia luar bandar.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi di sini, pada Isnin.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan inovasi digital kini memainkan peranan penting bukan sahaja bagi masyarakat bandar tetapi juga luar bandar dengan teknologi seperti tenaga solar dan Internet of Things (IoT) mampu membantu sektor pertanian serta perikanan menghasilkan produk lebih berkualiti dan menjimatkan masa serta tenaga.
Dato Sri Julaihi turut menjelaskan, di bawah pimpinan Premier Sarawak, kerajaan negeri komited memperkukuh tenaga boleh baharu dengan sasaran kapasiti penjanaan tenaga 10,000 megawatt menjelang 2030, di mana 60 peratus daripadanya dijana melalui tenaga solar.
Beliau menambah, inisiatif ini seiring dengan usaha memperkasa modal insan melalui transformasi pendidikan, TVET dan STEM, bagi melahirkan generasi celik digital yang mampu menyumbang kepada aspirasi Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.
Program jelajah Pro-DR 2025 akan berlangsung selama 29 hari dengan penyertaan 45 institusi pendidikan dan latihan di seluruh Sarawak.
Selain pameran pendidikan dan kerjaya, program ini turut menawarkan sesi perkongsian industri, kuiz interaktif, treasure hunt, pentas karaoke, serta maklumat mengenai biasiswa dan peluang pekerjaan dalam ekonomi digital.
Majlis perasmian turut dimeriahkan dengan gimik pelancaran, penyampaian hadiah, sesi bergambar, serta lawatan rasmi tetamu kehormat ke tapak pameran.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, serta Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang.-EDISI UKAS