BALINGIAN: Zon Balingian dinobatkan sebagai johan keseluruhan Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Peringkat Daerah Mukah 2025 yang melabuhkan tirainya di Dewan Masyarakat Balingian, hari ini.
Majlis penutupan rasmi disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Haji Arbi yang menegaskan bahawa PSKPP bukan sekadar medan riadah, tetapi juga platform membentuk warga pendidikan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
“Sukan melatih disiplin dan persaingan sihat, manakala kebudayaan memupuk jati diri bangsa. Gabungannya melahirkan pendidik unggul yang mampu menjadi teladan kepada generasi muda,” katanya.
Beliau turut menzahirkan sokongan berterusan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Balingian terhadap program yang mampu mengeratkan silaturahim warga pendidik dan mengurangkan tekanan kerja melalui aktiviti sukan serta seni budaya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Zon Balingian Rizalfaiza Merikan, berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran lapan acara sukan termasuk bola baling, pétanque, bola jaring, badminton dan futsal wanita.
Katanya, penganjuran kali ini penuh cabaran dengan peruntukan hanya RM2,700, selain kos sewaan Stadium Balingian mencecah RM600 sehari.
Beliau turut memaklumkan JKP Zon Balingian menerima dana RM5,000 daripada Pusat Khidmat ADUN pada Ramadan lalu, sekali gus membantu menyokong penyertaan pasukan dalam kejohanan.
Untuk keputusan keseluruhan, Zon Bandar Mukah muncul naib johan, diikuti Zon Seberang di tempat ketiga dan Zon Ladang di tempat keempat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Mukah (Sektor Pembangunan Murid), Awang Yusri Awang Adeni, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Unit Sukan), Kueh Peng Choon serta Herman Nahar.-EDISI UKAS